Mama Eyda: 10 Persiapan Sebelum Saya Berhenti Kerja

13 December 2014

10 Persiapan Sebelum Saya Berhenti Kerja

Bismillahirrahmanirrahim


Post image for 10 Persiapan Sebelum Saya Berhenti Kerja
1 Disember 2014, genaplah setahun saya berhenti kerja. Pejam, celik, pejam, celik, rupa-rupanya dah setahun tak masuk pejabat. Alhamdulillah, nikmatnya hidup sebagai usahawan bebas. Berkerja dari rumah, waktu kerja yang fleksible, tak perlu bersesak-sesak dengan jalan yang jammed pagi dan petang, bekerjasama suami isteri, waktu rehat ikut suka saya, dan cuti pun ikut suka saya! Dan paling penting, saya bahagia dengan apa yang saya usahakan sekarang.
Syukur pada Allah. Sekarang saya dibayar untuk buat apa yang saya suka, macam pemain bola sepak profesional yang dibayar untuk bermain. Samada Isnin pagi atau Jumaat petang, tak ada bezanya bagi saya. Samada hari bekerja atau cuti hujung minggu, semuanya saya rasa happy. Samada masuk kerja pukul 4.00 pagi, atau habis kerja pukul 12.00 malam, saya tetap rasa happy sebab saya buat apa yang saya suka, bukan sebab arahan bos. Dalam bisnes saya, sayalah bos, dan saya jugalah pekerjanya.

Liku-liku Bisnes Sendiri

Kehidupan beginilah yang saya impikan sejak 10 tahun lepas, hasil inspirasi dari guru bisnes saya. Ia bukan soal duit, tapi soal kehidupan. Saya impikan kehidupan yang ‘balance’ antara kerjaya dan kehidupan. Kalau nak dikirakan duit, semua orang ada duit, tapi yang lebih penting ialah kita ada MASA untuk buat apa yang bermakna dalam hidup kita.
Apa yang saya dapat pada hari ni, bukannya hasil usaha secara “overnight”. Ia memakan masa. Ramai orang fikir, saya buat bisnes 2, 3 tahun, lepas tu terus berjaya! Oh, tak semudah itu. Sebelum tahu berniaga sendiri, saya dah lalui banyak susah payah berniaga. Saya dah terbuat banyak benda-benda bodoh untuk jadi pandai. Saya pernah rasa dihina masa saya berniaga seolah-olah saya ni pengemis. Dan yang paling penting, saya dah buat persiapan selama 10 tahun sebelum akhirnya saya memberanikan diri menyerahkan surat perletakan jawatan sebab bisnes sudah sampai ke tahap mengganggu tanggungjawab terhadap majikan – bisnes dah maju.

Melepasi Ujian Tahun Pertama

Sejak bulan pertama saya berhenti kerja, beberapa kawan rapat yang nak ikut jejak langkah saya mula bertanya, apa persiapan saya sebelum berhenti kerja? Saya tak boleh kongsikan banyak sangat sebab saya baru sahaja berhenti kerja waktu tu. Saya belum melepasi ujian tahun pertama tanpa gaji. Bukan ramai orang yang mampu survive lepas berhenti kerja. Kebanyakannya akan berakhir dengan cari kerja lain sebab berhenti kerja tanpa perancangan yang rapi. Mereka berhenti kerja sebab dorongan emosi, bukan atas pertimbangan yang rasional.
Jadi sebagai tanda kesyukuran (Allah permudahkan saya melepasi ujian setahun tanpa duit gaji), ini saya kongsikan persiapan-persiapan yang saya buat sebelum berhenti kerja sebagai panduan sahabat-sahabat yang ada cita-cita untuk berniaga sendiri.

#1 – Langsaikan hutang-hutang negatif

Halangan utama untuk berhenti kerja ialah hutang. Ibu-ibu yang nak berhenti kerja untuk fokus jaga anak-anak, kebanyakannya terhalang sebab hutang. Alhamdulillah, Allah bebaskan kami suami isteri dari hutang sejak 4 Januari 2007 lagi. Sejak hari tu, kami tak menanggung sebarang bebanan hutang hingga ke saat saya menulis artikel ni.
Kalau disemak rekod bank, saya masih lagi ada hutang, tapi hutang-hutang tu dikategorikan hutang positif. Itu hutang-hutang yang membuatkan saya lebih kaya, dan ‘dibayar’ oleh orang lain! Alhamdulillah.

#2 – Rendahkan komitmen kewangan

Sejak dari dulu lagi, saya berpegang dengan prinsip “hidup di bawah kemampuan”. Walaupun saya seorang eksekutif, saya berbelanja macam seorang kerani. Walaupun pendapatan meningkat berkali ganda melalui bisnes, tapi saya masih berbelanja macam seorang kerani.
Bila kos sara hidup rendah, senanglah nak berhenti kerja. Saya tak terdesak untuk buat duit yang banyak dalam bisnes sebab kos sara hidup kami sekeluarga agak rendah. Saya tak perlu risau dengan jatuh bangun dalam bisnes. Saya boleh berniaga dengan jujur. Apa-apa peluang untuk buat duit, saya akan fikir manfaatnya untuk bakal pembeli, bukan kepentingan poket saya. Saya boleh berniaga dengan happy sebab saya tak terdesak untuk buat ‘duit besar’ atas kepentingan orang lain.

#3 – Cukupkan simpanan setahun pendapatan

Disaat saya berhenti kerja, dalam akaun saya dah cukup duit untuk kos sara hidup at least untuk tempoh setahun. Pendek kata, kalau tak buat apa-apa pun, saya masih boleh hidup macam biasa tanpa perlu bekerja selama tempoh setahun.
Bagi orang yang dah berpengalaman dalam bisnes, tempoh setahun tu cukup untuk bangunkan semula bisnes kalau ianya jatuh. Sebab semua bisnes-bisnes yang kami pernah usahakan, semua bisnes tanpa hutang. Kalau jatuh pun, senang nak bangun semula. Tapi dengan perkembangan bisnes kami sekarang, duit-duit tu cuma kekal sebagai dana kecemasan tanpa perlu disentuh.

#4 – Pendapatan bisnes melebihi gaji bulanan

Masa saya berhenti kerja, secara puratanya pendapatan dari bisnes saya dah melepasi gaji yang saya terima dari perkerjaan sekitar tempoh 12 bulan. Saya tengok prestasi 12 bulan bisnes saya, kalaupun bisnes tu down, ia masih lagi tinggi berbanding gaji yang saya terima.
Jadi saya fikir, kalau saya buat bisnes dalam keadaan sibuk dan kelam-kabut dengan bekerja pun dah melepasi gaji yang saya terima, insyaAllah bisnes saya akan berganda bila saya fokus sepenuh masa. Lepas setahun fokus sepenuh masa, memang betul, hasil dari bisnes dah berlipat ganda berbanding waktu saya bekerja dulu. Alhamdulillah, puji-pujian bagi Allah.

#5 – Lengkapkan peralatan dalam home office

Sehari lepas saya meninggalkan pejabat, saya terus ‘lapor diri’ ke pejabat baru yang hanya beberapa langkah dari bilik tidur saya. Hasil dari bisnes part-time dulu, saya tak gunakan duit tu untuk ‘berjoli katak’, tapi saya fokus tambahkan simpanan dan ‘laburkan’ untuk membeli kelengkapan bisnes.
Saya pastikan suasana pejabat baru saya sama standard dengan pejabat waktu saya bekerja dulu, bahkan lebih baik. Buku-buku saya tersusun rapi dekat workstation saya. Lengkap dengan PC, printer 3-in-1, rak fail kerja saya, laptop dan tablet untuk saya bekerja secara on-the-go, dan yang paling penting, pejabat baru saya juga lengkap dengan air-cond. Rumah saya tak pakai air-cond kecuali home-office saya! (“,)
Mood bekerja di home office saya sama sahaja dengan pejabat saya dulu. Bahkan lebih baik sebab siap dengan katil bujang untuk saya rehatkan diri bila-bila masa saya rasa perlu berehat…

#6 – Perancangan halatuju bisnes yang rapi

Sebelum saya berhenti kerja dulu, saya banyak tanya rakan-rakan yang dah lama berhenti kerja dan berjaya dalam bisnes. Katanya, cabaran paling besar orang bekerja sendiri ialah DISLIPLIN DIRI. Kita tak ada bos yang suruh dan pantau macam waktu kerja makan gaji dulu. Siap kerja atau tak siap kerja, tak siapa yang marah. Waktu pagi orang sibuk pergi kerja, kita ada pilihan untuk terus membuta. Orang dah mula kerja, kita belum mandi lagi. Akhir sekali, bisnes pun tak ke mana juga. Bahkan buat bisnes secara part-time lebih baik sebab kita terpaksa mendisiplinkan diri.
Jadi untuk disiplinkan diri, kita mesti tetapkan wawasan dan rancangan yang rapi untuk bisnes kita sendiri. Sebelum berhenti kerja lagi, saya dah siap “kertas kerja” dan perancangan bisnes untuk setahun yang saya namakan “STRATEGI BISNES 2014″. Saya siapkan ‘job spec’ saya sendiri. Saya dah gariskan polisi kerja saya sendiri.
Jadi bila berhenti kerja, saya ikut apa yang saya dah rancangkan. Saya mulakan kerja sebelum orang lain masuk pejabat. Dan selalu juga saya habis kerja lepas orang lain dah mula masuk tidur! Saya bekerja lebih keras berbanding dulu, tapi dengan waktu kerja yang lebih fleksible. Hasilnya, target yang saya sasarkan untuk capai pada Disember 2014, Allah rezekikan saya capai sejak September 2014 lagi! 3 bulan lebih awal dari apa yang saya rancangkan. Sekarang saya dah siapkan rancangan “STRATEGI BISNES 2015″. Alhamdulillah.

#7 – Siapkan contingency plan untuk bisnes

Bisnes ada turun naik. Suatu masa dulu, semua orang pakai handphone Nokia, tapi sekarang, susah jumpa orang pakai handpone Nokia. Itulah lumrah bisnes, ada naik dan turun. Jadi sebagai persiapan, kami suami isteri lengkapkan diri dengan ilmu dan kemahiran untuk berhadapan sebarang ketidaktentuan dalam bisnes. Pendek kata, kalau satu bisnes tu jatuh dan tak boleh dibangunkan semula, kami dah bersedia dengan bisnes yang lain.
Kami dah pernah buat berbagai jenis bisnes. Kami tahu banyak lubang-lubang buat duit sampai kami terpaksa pilih yang mana terbaik dengan halatuju hidup kami. Dan kami setuju dengan kata-kata Chef Li, “malang kalau duduk di Malaysia tapi tak kaya”. Sebab peluang bisnes tu terlalu banyak. Dan hanya orang yang gigih berniaga sahaja akan nampak peluang-peluang tersebut. Selagi tak mula, susah nampak walaupun peluang tu ada depan mata!

#8 – Persepakatan suami isteri dan restu ibubapa

Waktu saya buat keputusan untuk berhenti kerja, isteri saya bagi sokongan sepenuhnya keputusan saya. Isteri saya tahu apa peranan dia untuk memajukan bisnes kami, dan isteri saya bersedia untuk execute “contingency plan” bila-bila diperlukan. Tapi alhamdulillah, contingency plan tu masih tinggal sebagai sebuah “plan” dan terus kekal sebagai “plan” sahaja (insyaAllah) sebab bisnes yang kami usahakan terus berkembang maju berbanding dulu.
Yang kedua ialah restu kedua ibubapa. Sebelum berhenti kerja, saya beritahu kepada Mama dan Abah tentang rancangan saya. Alhamdulillah, mereka berdua support keputusan saya walaupun sedikit risau. Dalam keluarga kami, saya satu-satunya anak yang ambil keputusan berniaga sepenuh masa walaupun dah ada kerja yang stabil. Saya rasa, Mama dan Abah mungkin risaukan kewangan kami sebab 7 daripada 12 cucunya ialah anak-anak kami! Bila saya letak jawatan, maksudnya kami suami isteri dua-dua tak bekerja… (“,)
Tapi alhamdulillah, saya nampak Mama dan Abah tak lagi risaukan kami. Dulu selalu juga Mama tanya, “berapa pendapatan bulan ni?”. Sekarang Mama dah tak perlu tanya soalan tu sebab saya selalu update Mama dengan perkembangan positif bisnes kami. Alhamdulillah, berkat doa dan sokongan mereka, Allah permudahkan urusan kami.

#9 – Perlindungan insuran yang cukup

Waktu kerja dulu, kalau sakit demam, pergi jer klinik dan company yang bayarkan. Kalau masuk hospital swasta tak perlu risau. Semuanya company yang cover. Tapi bila bekerja sendiri, semuanya kita kena tanggung sendiri. Kalau tak ada insuran, kita masih ada pilihan untuk ke klinik dan hospital kerajaan. Cuma bila terpaksa berhadapan dengan “queue” yang panjang, dan memikirkan tentang suasana yang lebih kondusif untuk penyembuhan, saya pilih untuk ke swasta.
Jadi selepas berhenti kerja, saya cukupkan cover takaful; polisi kemalangan diri, polisi penyakit kritikal dan polisi medical card untuk cover bil hospital. Kalau berlaku musibah, polisi-polisi tu dapat membantu dari sudut kewangan, dan tak perlu gunakan duit simpanan saya, insyaAllah.

#10 – Bina networking persahabatan luar pejabat

Ramai kawan-kawan yang berhenti kerja, mereka hilang ramai kawan. Kalau dulu, hari-hari jumpa kawan sepejabat. Habis waktu kerja, pergi lepak dan bersukan dengan kawan-kawan sepejabat. Hujung minggu, ada function dengan kawan sepejabat. Tapi bila berhenti kerja, semuanya hilang!
Hari-hari tengok muka isteri dan anak-anak, dari pagi sampai petang. Nak bersukan, dah tak ada kawan. Hidup jadi terasing dari orang lain. Ia boleh melemahkan motivasi kita untuk terus maju. Lagi susah bagi sesiapa yang berniaga offline. Mereka hilang peluang membina kumpulan pelanggan setia yang biasanya terdiri daripada kawan-kawan terdekat. Mereka terpaksa cari kawan baru yang terdiri daripada “stranger” dan ianya tak mudah.

Bina Kehidupan Di Luar Pejabat

Tapi alhamdulillah, saya sememangnya dah lama bina kehidupan di luar pejabat. Lepas waktu kerja, saya terlibat dengan kerja-kerja kemasyarakatan dan aktiviti sosial setempat. Saya mengurus 2 cawangan tadika Islam di Damansara Damai secara sukarela tanpa dibayar walaupun 1 sen. Saya jadi AJK surau dan masjid di tempat saya. Saya join beberapa kumpulan usrah, dan saya juga handle usrah. Kami ada aktiviti kemasyarakatan, sukan, dan program rekreasi kami sendiri.
Alhamdulillah, network persahabatan yang saya bina selama ni membuatkan hidup saya tak pernah sunyi dari aktiviti sosial walaupun lepas berhenti kerja. Dan dengan persiapan rapi begini, ia membuatkan hidup kita terus bermotivasi walaupun tak lagi bergelar seorang pekerja. Susah juga saya nak jawab kalau orang tanya, “En. Zul kerja di mana?”…
Wallahu a’lam.

Teks:http://www.mohdzulkifli.com

P/s:

InshaAllah suatu hari nanti saya akan jadi WAHM


No comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana sudi komen .. Salam ukhwah

Ya Allah..

Sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada kesusahan dan kesedihan;aku berlindung kepada-Mu daripada kelemahan dan kemalasan;aku berlindung kepada-Mu daripada sifat pengecut dan bakhil;dan aku berlindung kepada-Mu daripada bebanan hutang dan kekerasan manusia..

OUr LoVe JouRney.. Alhamdulillah..

Daisypath Anniversary tickers

My Beautiful Journey Copyright © 2016. Design by MaiGraphicDesign